JPJ SAHUT TINDAKAN TEGAS SPRM BANTERAS ORANG TENGAH

Putrajaya, 24 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi agensi penguat kuasa terawal yang menyahut tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu secara agresif individu disyaki menjadi orang tengah yang menyogok mana-mana agensi kerajaan dan penguat kuasa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, antara fokus utama SPRM termasuk menumpaskan rangkaian ejen serta orang tengah yang berperanan secara sistematik mengurus hubungan antara sindiket dan penguat kuasa untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori mereka di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Kerjasama strategik bersama JPJ ini akan diperkasakan dari semasa ke semasa, termasuk melalui operasi bersama, pertukaran maklumat serta pelaksanaan program pencegahan bagi menutup ruang dan peluang kepada ejen serta orang tengah untuk terus beroperasi,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli di Ibu Pejabat SPRM, di sini semalam.

Sebelum ini, Dato’ Sri Ahmad Khusairi mendedahkan ejen dan orang tengah dipercayai mengaut keuntungan lebih besar berbanding penjawat awam yang menerima hanya sebahagian kecil wang rasuah.

Beliau memberi contoh rasuah membabitkan penguat kuasa negara yang membawa masuk migran berjumlah RM6,000, di mana penguat kuasa hanya peroleh kurang RM1,000 sahaja selebihnya diambil ejen.

Sementara itu, Dato’ Aedy Fadly memberikan komitmen penuh jabatan berkenaan untuk terus bekerjasama rapat dengan SPRM, termasuk berkongsi maklumat risikan, memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersekongkol dengan sindiket.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut berpeluang mengadakan perbincangan termasuk memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, menyeluruh dan berintegriti.

Turut hadir Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff.

SPRMMalaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *