






Oleh: Sholina Osman
27 FEB. 2026
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa anak-anak istimewa merupakan golongan yang kaya dengan potensi serta keunikan tersendiri, dan mereka adalah amanah yang amat bernilai.
Justeru, titah Baginda mereka bukan sahaja memerlukan prasarana yang bersesuaian, malah perhatian, kesabaran serta dorongan berterusan daripada keluarga, para pendidik dan seluruh komuniti.
Menurut baginda, setiap individu wajar diraikan berdasarkan kekuatan dan kebolehan masing-masing. Apabila diberikan ruang dan peluang yang adil, anak-anak istimewa mampu menyerlahkan bakat, membina keyakinan diri serta mencorakkan masa depan yang lebih gemilang.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menekankan bahawa jalinan kerjasama erat antara ibu bapa, tenaga pengajar dan masyarakat perlu sentiasa diperkukuh.
YANG MENJADI PEMANGKIN
Kesepaduan usaha inilah yang menjadi pemangkin kepada pembentukan sahsiah, peningkatan keupayaan serta pencapaian yang lebih bermakna buat mereka.
Dalam masa yang sama, nilai inklusif dan empati hendaklah terus disuburkan dalam kehidupan bermasyarakat. Sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal atau kemakmuran ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui keupayaannya memelihara kebajikan dan martabat golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan (TDKKU) di Jalan Chi Hwa, Sandakan, Sabah.
PERKHIDMATAN PENDIDIKAN KHAS
Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) Sandakan menyediakan perkhidmatan pendidikan khas, penjagaan serta pemulihan secara menyeluruh kepada kanak-kanak kurang upaya (OKU) di daerah Sandakan.
Beroperasi di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah, pusat ini komited dalam memperkasa perkembangan holistik kanak-kanak berkeperluan khas melalui pelaksanaan program pendidikan awal, latihan kemahiran asas, terapi perkembangan serta aktiviti sosial yang dirancang secara sistematik dan inklusif.
Pusat ini menempatkan kira-kira 40 kanak-kanak OKU berdaftar yang menerima intervensi awal dan bimbingan berterusan daripada tenaga pengajar serta petugas terlatih dan berdedikasi.
DIRANGKA SECARA KOMPREHENSIF
Setiap program dirangka secara komprehensif bagi membantu kanak-kanak membina keyakinan diri, memperkukuh kemahiran komunikasi dan interaksi sosial, serta mempersiapkan mereka untuk integrasi ke dalam sistem persekolahan arus perdana melalui program pendidikan khas integrasi yang bersesuaian dengan tahap keupayaan masing-masing.
Selain itu, TDKKU Sandakan turut berperanan sebagai institusi yang menyediakan perkhidmatan penjagaan, perlindungan serta latihan pengurusan diri dan pembentukan tingkah laku positif, demi memastikan kesejahteraan dan perkembangan optimum setiap kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pusat ini.
Dalam lawatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan Perasmian Ruang Terapi, menyaksikan penyerahan sumbangan ikhlas daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan RISDA, beramah mesra serta meluangkan masa bersama warga TDKKU Sandakan.
Lawatan ini merupakan kunjungan pertama baginda sejurus berangkat tiba di Lapangan Terbang Sandakan sempena Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Kerajaan Negeri Sabah (EKS PERBAH) yang berlangsung mulai 26 Februari hingga 1 Mac 2026.
Program yang diketuai oleh baginda ini bertujuan memperkukuh hubungan antara negeri Sabah dan Perlis melalui pelbagai aktiviti keselamatan, pendidikan serta kebajikan yang dilaksanakan di sekitar Sandakan, sekali gus mempererat jalinan kerjasama dan persaudaraan antara kedua-dua negeri. – JM
