


Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 FEB. 2026
Pelaburan US$2 bilion oleh Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024 bergerak dengan kemajuan yang memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan ini merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia.
“Apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka menyokong penghasilan kesan ekonomi berjumlah US$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.
Sebelum itu beliau mengadakan panggilan sidang video bersama Ruth Porat, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet & Google, serta pasukannya, pagi semalam.
ADALAH MANIFESTASI KEYAKINAN
Perdana Menteri berkata pelaburan strategik ini adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara.
Beliau berkata ia selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).
Jelas beliau kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyediakan platform sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Dalam semangat ini, saya mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan,” kata beliau. – JM
