KPDN catat nilai rampasan lebih RM1 juta pada OPS PANTAU 2026 – Armizan

Oleh: Sholina Osman
1 MAC 2026

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan nilai rampasan mencecah RM1,093,810.65 hasil
OPS PANTAU 2026 sehingga 26 Februari lalu di seluruh negara.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebanyak 16,059 pemeriksaan telah dijalankan di lokasi-lokasi tumpuan termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya serta kedai runcit di seluruh negara sejak OPS PANTAU 2026 bermula 19 Februari lalu.

“Jumlah ini termasuk 229 kes
melibatkan pengeluaran kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak
RM57,500,” kata beliau dalam kenyataan media.

Armizan berkata pelanggaran tertinggi yang dikesan adalah kegagalan memaparkan tanda harga dengan 143 kes, diikuti oleh kesalahan alat timbang dan sukat dengan 78 kes KPDN.

PROGRAM JUALAN RAHMAH

Beliau berkata KPDN juga menyasarkan sebanyak 1,898 siri penganjuran Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Ramadan di seluruh negara di sepanjang tempoh bulan mulia ini.

Jelas beliau kesemua siri ini menawarkan pelbagai barangan basah dan kering yang menjadi keperluan utama untuk persiapan berbuka puasa, termasuk penyediaan kuih muih tradisi.

“Sehingga 28 Februari 2026, sebanyak 541 siri PJRM Ramadan telah dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

MANFAAT YANG DINIKMATI

Armizan berkata melihat kepada sambutan menggalakkan dan manfaat yang dinikmati oleh para pengguna, Kerajaan telah mengambil pendekatan untuk menginstitusikan
PJRM sebagai inisiatif tetap kos sara hidup.

“Ikhtiar ini membolehkan
perancangan lebih tersusun dan penambahbaikan berterusan dibuat
berbanding pendekatan pelaksanaan secara ad hoc sebelum ini,” kata beliau.

Jelas beliau antara penambahbaikan utama selepas PJRM diinstitusikan di bawah agenda Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) ialah pelaksanaan PJRM dengan kekerapan tiga kali sebulan meliputi keseluruhan 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, serta 40 zon di Wilayah Persekutuan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *