


Wartawan JM
1 MAC 2026
Rakyat Malaysia di Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dinasihat bersedia menghadapi kemungkinan perubahan jadual penerbangan secara mendadak, penutupan lapangan terbang, serta sekatan perjalanan.
Kenyataan media Kementerian Luar yang juga dikenali Wisma Putra memaklumkan bahawa pengaturan alternatif atau pelan kontingensi hendaklah dibuat dengan segera sekiranya perlu.
“Pihak kementerian juga sedang memantau rapi perkembangan situasi keselamatan di Timur Tengah susulan laporan serangan terkini dan peningkatan ketegangan yang melibatkan Iran dan Israel,” kata kenyataan itu lagi.
SERANGAN KETENTERAAN TERBAHARU
Berikutan perkembangan semasa, termasuk serangan ketenteraan terbaharu serta peningkatan langkah keselamatan di beberapa kawasan, penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan telah dilaporkan di Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan UAE.
Kementerian menggesa rakyat Malaysia di negara terbabit khususnya di kawasan yang terjejas atau berhampiran dengannya, agar sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan yang tinggi, mengelak kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam, serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Perjalanan yang tidak mustahak ke negara-negara tersebut hendaklah ditangguhkan sehingga keadaan keselamatan kembali stabil.
UNTUK SEGERA MENDAFTAR
Semua rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di negara-negara berkenaan diseru untuk segera mendaftar dan mengemas kini butiran perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia yang terdekat, atau melalui e-Konsular di https:ekonsular.kln.gov.my, bagi memudahkan penyaluran bantuan sekiranya diperlukan.
Kementerian kekal komited dalam memastikan kebajikan dan keselamatan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.
Sekiranya berlaku kecemasan atau sekiranya memerlukan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia yang terdekat. – JM
