Individu dipenjara 10 bulan, denda RM50,000 muat naik hantaran jelik melampau

Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2026

Mahkamah Sesyen 1 Miri, Sarawak hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan serta denda RM50,000 terhadap seorang
pentadbir akaun Facebook kerana memuat naik komen yang bersifat jelik
melampau serta menyinggung sensitiviti agama Islam berhubung pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa tertuduh, John Mule anak Alai, 48, telah didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang.

Beliau selaku pentadbir akaun Facebook “Bat Tuo Sai”, telah
memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci al-Quran dan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian beliau.

PENYALAHGUNAAN PLATFORM DIGITAL

MCMC memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

Sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau
menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan
tindakan tegas di bawah undang-undang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *