Pijak al-Quran: MCMC dengan kerjasama PDRM kesan pemilik akaun FB “Dickie Borneo”

Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan pemilik akaun FB “Dickie Borneo” ekoran penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.

Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama “Dickie Borneo” tidak dapat dikesan.

Walau bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan.

UNSUR PENGHINAAN AGAMA

Hasil pemantauan lanjut oleh MCMC turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.

Semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

МСМС kini sedang bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terlibat.

BOLEH MENCETUSKAN KETEGANGAN

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.

МСМС tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.

Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *