







Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyediakan sebanyak 14 mesin retort untuk diagihkan kepada rakan-rakan strategik menerusi program Inkubator i-FB.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali antara rakan strategik yang telah terlibat dalam program ini adalah Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Hotel Le Meridien Putrajaya, Hotel Marriot Putrajaya dan Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.
Armizan berkata KPDN telah menyediakan kemudahan mesin retort kepada rakan strategik bagi membolehkan lebihan makanan yang masih selamat, diproses (retort) untuk disimpan menjadi produk makanan tahan lama.
KERJASAMA DAN PENYERTAAN
“KPDN amat mengalu-alukan kerjasama dan penyertaan aktif pelbagai pihak dalam menggerakkan i-FB termasuk bagi peluasan Program Inkubator Ihsan Food Bank,” kata Armizan dalam kenyataan media.
Armizan bersama rakan-rakan strategik telah melaksanakan Program Santuni Komuniti Ihsan Food Bank sebagai usaha menyantuni petugas barisan hadapan serta mendekati golongan gelandangan di sekitar kawasan ibu kota Kuala Lumpur.
Beliau berkata program ini adalah sebahagian daripada Inisiatif i-FB yang merupakan ikhtiar kos sara hidup dengan menggariskan 3 komponen objektif iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
RAKAN STRATEGIK KPDN
“Antara rakan strategik KPDN yang terlibat ialah terdiri daripada pihak industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan seperti Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, World Trade Centre Kuala Lumpur, Mamee-Double Decker Sdn Bhd, QSR Brands (M) Holdings Bhd, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Kechara Soup Kitchen, The Lost Food Project dan ReMeal,” kata beliau.
Melalui program ini, Armizan berkata sumbangan pek makanan seperti makanan retort, makanan dalam tin dan barangan makanan kering telah diagihkan kepada komuniti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di Balai Bomba dan Penyelamat Sentul serta anggota Polis Diraja Malaysia PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang sentiasa bertugas demi keselamatan rakyat.
Selain menyantuni petugas barisan hadapan, program pada malam ini katanya juga mendekati serta mengagihkan sumbangan bekalan makanan kepada golongan gelandangan sebagai usaha menyantuni komuniti yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. – JM
