PMX bertemu Premier Sarawak dan kepemimpinan kerajaan Sarawak di Kuching

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
13 MAC 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan
dengan Premier Sarawak dan kepemimpinan kerajaan Sarawak di Kuching yang merupakan sebahagian dari kesinambungan siri pertemuan yang telah diadakan dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara.

Beliau berkata pendekatan ini berpaksi pada keyakinan bahawa pembangunan yang mampan mesti bertitik tolak daripada kesediaan untuk mendengar dengan teliti keperluan serta aspirasi negeri, khususnya dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Anwar berkata dalam mesyuarat tersebut, kami meneliti pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan rakyat Sarawak, termasuk agenda pembangunan, pemerkasaan ekonomi negeri serta usaha memperkukuh kerjasama antara Persekutuan dan negeri.

“Saya turut diberi taklimat berkenaan keperluan menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air di Sarawak,” kata beliau dalam hantaran di FB.

KSN DAN PETRA

Oleh itu, beliau telah meminta KSN dan PETRA melihat pendekatan yang menyeluruh bagi menyelesaikan kedua-dua ini memandangkan hampir keseluruhan projek telah mempunyai peruntukan dan ia mesti diselesaikan sesegera yang mungkin.

Justeru, kata Perdana Menteri ia menjadi bukti nyata bahawa dialog terbuka sebegini amat penting sebagai wahana untuk memperkemas serta mencakup keperluan masyarakat di negeri-negeri, ketimbang sekadar memenuhi syarat birokratik semata.

“Saya memaklumkan bahawa pimpinan beberapa negara di rantau Teluk serta pimpinan Iran dan Turkiye telah menghubungi kita untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan konflik semasa,” kata Anwar.

Jelas beliau sebagai sebuah negara yang relatifnya tidak besar, kesediaan mereka untuk mendengar pandangan Malaysia merupakan suatu penghormatan kepada negara, dan beliau telah menyampaikan beberapa pandangan mewakili Malaysia sambil menegaskan kepentingan meredakan ketegangan demi keamanan sejagat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *