




Oleh: Sholina Osman
13 MAC 3026
Lebih 300 penduduk mendapat manfaat setelah Balai Raya Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering di Kuala Pilah yang dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM285,000 telah siap sepenuhnya pada Disember 2025.
Kenyataan media Kementerian Komunikasi memaklumkan Ketua Setiausahanya Datuk Abdul Halim Hamzah telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek bagi Kampung Angkat MADANI 2025 Kementerian Komunikasi.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim; Pegawai Daerah Kuala Pilah merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin dan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi, Datuk Aminurrahim Mohamed.
TEMPOH 10 MINGGU
Projek yang dilaksanakan dalam tempoh 10 minggu, bermula Oktober hingga Disember 2025 ini melibatkan pembaikan bumbung dan siling, pemasangan kemasan lantai baharu, pengecatan semula bangunan serta pemasangan sistem penghawa dingin, kipas dan lampu yang lebih terang bagi memastikan balai raya lebih selesa, bersih dan moden untuk kegunaan penduduk.
Ruang tandas dan pantri turut diperbaharui sepenuhnya dengan jubin dan kelengkapan yang lebih baik.
Selain itu, keselamatan kawasan luar turut dipertingkatkan melalui pemasangan pagar di sekeliling bangunan serta penyediaan anjung berbumbung yang lebih luas bagi
memudahkan penganjuran majlis oleh warga setempat.
PENYEDIAAN KEMUDAHAN ASAS
Kenyataan media juga memaklumkan Program Kampung Angkat MADANI, yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024, memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas di kawasan desa terpilih.
Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam memastikan kemudahan asas dapat dinikmati oleh masyarakat sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara
kawasan bandar dan luar bandar.
Kementerian Komunikasi turut menekankan kepentingan pembangunan prasarana
komuniti sebagai wadah integrasi sosial dan pusat pertemuan masyarakat bagi memperkukuh kesejahteraan serta hubungan ukhuwah dalam kalangan penduduk
setempat.
Majlis turut diserikan dengan jamuan berbuka puasa bersama komuniti,
yang menjadi platform ziarah kasih untuk merapatkan hubungan silaturahim antara pengurusan tertinggi kementerian dengan warga penduduk Kuala Pilah. – JM
