Perlis galakkan solat hari raya Aidilfitri di tanah lapang (musolla) – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
19 MAC 2026

Perlis menggalakkan supaya solat hari raya Aidilfitri pada tahun ini dilaksanakan di kawasan tanah lapang (musolla).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan mengumumkan ini dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Arau.

Baginda bertitah masa solat yang diselaraskan adalah bermula pada pukul 7.45 pagi sehingga jam 8.15 pagi.

Bagaimanapun titah Baginda, bergantung kepada keputusan yang dipilih oleh Jawatankuasa Kariah masing-masing tetapi hendaklah memastikan agar hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih, dilaksanakan sebaiknya untuk penyelarasan kepada Ahli Kariah.

TERTAKLUK KEPADA KETETAPAN

“Pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Negeri Perlis,” titah Baginda

“Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Walaubagaimanapun, titah Baginda pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.

PELAKSANAANNYA HENDAKLAH DIRUJUK

“Bagi pelaksanaan solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti
surau rasmi dalam Negeri Perlis,
pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),” titah Baginda.

Titah Baginda adalan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, solat hari raya Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.

“Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi,” titah Baginda.

Baginda bertitah bagi pelaksanaan solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau, ia akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8.00 pagi.

JIKA KEADAAN CUACA

Titah Baginda jika keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.

“Sesungguhnya, besar harapan saya agar segala ketetapan yang telah digariskan ini sentiasa dijunjung tinggi serta dipathi dengan penuh iltizam oleh seluruh rakyat yang dikasihi sekalian,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Baginda bertitah Syawal yang bakal menjelma seharusya dijadikan medan untuk kita kembali bermuhasabah diri, membasahi lidah dengan istighfar, serta mengagungkan kebesaran llahi melalui takbir, tahmid, dan tahlil.

ATAS LIMPAH RAHMAT

“Biarlah ia menjadi neraca kesyukuran yang tulus atas limpah rahmat Allah Azza Wajalla yang melimpah-ruah ke atas kita semua,” titah Baginda.

“Bersempena dengan detik yang penuh keberkatan ini, saya dengan penuh takzim menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, untuk menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh rakyat. Semoga segala amal ibadat kita diterima-Nya dengan ucapan, ‘Taqabbalallahu minna wa minkum’,” titah Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *