Selamat Ulang Tahun Ke-56 Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen

Oleh: Sholina Osman
28 MAC 2026

Sabtu, 28 Mac 2026, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-56.

Seluruh umat Perlis dengan penuh takzim merafakkan sembah dan setinggi-tinggi doa ke hadrat Allah SWT, moga Baginda Tuanku serta seluruh kerabat diraja sentiasa berada dalam lindungan dan inayah-Nya.

Semoga Tuanku Raja Puan Muda dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dilimpahi kesejahteraan, dipanjangkan usia serta sentiasa dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki.

Menelusuri riwayat hidup Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah yang berjiwa ilmuwan, Baginda diputerakan pada 28 Mac 1970 di Hospital Besar Kuala Lumpur.

DICORAK MENERUSI PENDIDIKAN

Keunggulan peribadi Baginda dicorak menerusi pendidikan awal yang cemerlang di Sekolah Convent Bukit Nanas serta Melbourne Girls Grammar School, Australia.

Keperibadian Baginda sebagai simbol intelektual diraja diperkukuhkan melalui kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Kecemerlangan ini merupakan kesinambungan daripada pengajian peringkat Sarjana Muda di La Trobe University, Melbourne serta Ijazah Sarjana dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Dalam pada itu, Baginda berkenan berangkat menghadiri Majlis Hi-Tea anjuran Butik Diini Rizqin Bawal Exclusive Perlis yang berlangsung di KPARC Business Centre, Kangar.

ANAKANDA PUTERI BAGINDA

Turut berangkat sama ialah anakanda puteri Baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Butik Diini Rizqin merupakan antara butik pilihan utama di negeri ini yang menampilkan koleksi Bawal Exclusive dengan gabungan kualiti premium, rekaan elegan serta keselesaan pemakaian.

Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi ‘Hijab Styling’, ‘Make-up Tutorial’ dan ‘Colour Analysis’ yang memberi panduan praktikal kepada tetamu dalam penggayaan tudung, teknik solekan serta pemilihan warna yang sesuai.

Dalam majlis berkenaan, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan acara pemotongan kek sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *