2,400 pegawai penguat kuasa diseluruh negara kini siapsiaga pantau di lapangan – Azman

Oleh: Sholina Osman
28 MAC 2026

Seramai 2,400 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara kini berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi untuk melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan apabila larangan penjualan dan pembelian minyak Petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing dikuatkuasa 1 April ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata langkah ini adalah antara strategi bagi memastikan subsidi terus
dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja.

“KPDN tidak akan berkompromi
terhadap mana-mana pemilik/pemandu kenderaan asing atau
pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan ini akan
berhadapan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang
berkuat kuasa,” kata Azman dalam kenyataan media hari ini.

MEMPERKUKUH ELEMEN PENGUATKUASAAN

Azman berkata KPDN akan terus memperkukuhkan elemen penguatkuasaan bagi mengekang
isu ketirisan dan penyeludupan selain daripada memastikan kestabilan
bekalan barang kawalan terjamin di pasaran meskipun berdepan
ketidaktentuan geopolitik akibat konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

“Iltizam dan usaha berterusan KPDN ini, selari dengan saranan dan
hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kelangsungan bekalan
tenaga negara terus terjamin dan dapat memenuhi keperluan rakyat,” tambah beliau.

Selain itu kata Azman melalui OPS TIRIS 4.0, KPDN akan memperkukuh kerjasama strategik secara bersepadu dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), PDRM dan agensi penguatkuasaan yang lain bagi menutup sebarang ruang penyelewengan dan ketirisan.

“KPDN memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ini tidak akan dikompromi,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *