Peranan PDRM sebagai benteng utama keselamatan negara amatlah signifikan

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
28 MAC 2026

Peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai benteng utama keselamatan negara amatlah signifikan. Kewujudan pasukan polis bukan sahaja untuk menguatkuasakan undang-undang, malah berperanan menegah kemungkaran serta memastikan keamanan dan keadilan terus tertegak.

Masyarakat juga hendaklah sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada pihak polis dalam menjalankan tugas.

Pada masa yang sama, anggota polis juga dituntut untuk terus berpegang teguh kepada nilai amanah, integriti dan keikhlasan dalam melindungi masyarakat.

Demikian teks kutbah khas sempena sambutan Hari Polis ke-219 yang disampaikan di masjid-masjid seluruh negeri Perlis semalam.

MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat jumaat di Masjid Nurus Said Santan.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim dan Timbalan Ketua Polis Perlis yang baharu, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus serta para pegawai kanan PDRM Perlis.

MEMELIHARA KEAMANAN NEGARA

Bersempena Hari Polis ke-219 ini, masyarakat diajak bersama-sama memperkukuh tekad untuk memelihara keamanan negara, mempererat kerjasama antara satu sama lain dengan pasukan keselamatan, serta memastikan kesejahteraan dan keharmonian yang berpanjangan terus dinikmati oleh seluruh rakyat.

Sesungguhnya, setiap usaha dan pengorbanan dalam menegakkan keamanan bukan sahaja berperanan mencegah jenayah, malah menjamin keselamatan awam. Segala usaha tersebut merupakan satu amanah besar dan juga jihad yang akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Masyarakat juga diseru agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya negara terus dikurniakan keamanan, rakyat hidup dalam kesejahteraan, dan syiar Islam sentiasa terpelihara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *