


Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
31 MAC 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan sekalipun dunia kini berdepan dengan krisis tenaga global yang kian meruncing.
Beliau berkata hakikatnya, dunia sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya.
“Justeru, kita tidak boleh alpa atau terlalu selesa. Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.
BERTINDAK SECARA PROAKTIF
Anwar berkata Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan.
“Dalam masa sama, saya mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Beliau berkata belilah barangan dan sokonglah usahawan tempatan, kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat,” tambah beliau.
Amwar berkata kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan. – JM
