


3 April 2026
Majlis Media Malaysia (MMM) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) perlu mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti etika bersesuaian dalam pelaporan serta penyiaran video berkaitan nahas atau tragedi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sewaktu membuat saranan tersebut berkata, langkah itu perlu berikutan aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai beberapa klip video berkaitan kemalangan yang disiarkan sepenuhnya tanpa tapisan oleh akaun media sosial milik syarikat media.
Menurut beliau lagi, tindakan memuat naik rakaman berkaitan tragedi atau nahas seperti rakaman kamera papan pemuka kenderaan tanpa saringan terutama yang mempunyai elemen tragis dan beremosi dikhuatiri boleh menimbulkan kesan trauma kepada penonton.
SESI TAKLIMAT MEDIA
“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana pada waktu ini kita belum lagi mengekang yang berusia 16 tahun ke bawah (menggunakan media sosial), jadi mungkin yang menonton itu adalah dalam kalangan kanak-kanak.
“Jadi perlu ada perbincangan segera untuk mengenal pasti langkah seimbang antara pelaporan dan juga mungkin kandungan video yang boleh dianggap terlalu grafik seperti berlumuran darah,ββ katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman berkaitan kerjasama mengekang aktiviti scam atau penipuan antara MCMC dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.
Fahmi berkata, demikian ketika diminta mengulas mengenai sesi taklimat media berkaitan garis panduan kandungan dianjurkan MCMC semalam yang didakwa sesetengah pihak sebagai tindakan bertentangan amalan kewartawanan yang memerlukan kebebasan serta ketelusan maklumat kepada umum.
Mengulas lanjut, beliau berkata segala tindakan yang dilakukan MCMC adalah berlandaskan undang-undang kepada aduan diterima.
Petikan : BERNAMA
