


Oleh: Sholina Osman
8 APRIL 2026
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar satu lagi detik penting dalam sejarah penjenamaannya apabila melancarkan tagline baharu, “UniMAP: Universiti Premier Teknikal”, sebagai simbol aspirasi baharu ke arah kecemerlangan global.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pelancaran tersebut mencerminkan perkembangan pesat universiti itu sejak penubuhannya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi teknikal yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi.
“Dalam tempoh 25 tahun, UniMAP telah melalui transformasi signifikan, seiring dengan perubahan landskap pendidikan tinggi serta keperluan industri masa kini.
“Pelancaran tagline ini adalah seiring dengan sambutan Jubli Perak UniMAP dan ia dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan universiti terus kekal relevan, berimpak, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
DI PENTAS GLOBAL
“Kita mahu melihat UniMAP bukan sahaja cemerlang di peringkat tempatan, malah turut diiktiraf di pentas global,” katanya ketika dihubungi di Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) 2025 di sini.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat menyaksikan adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro-Canselor UniMAP, dan Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Pro–Canselor UniMAP.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Dato’ Sri Sufri Mhd Zin.
MEMPERKUKUH REPUTASI AKADEMIK
Tambah Dr. Zaliman, tagline baharu ini diyakini mampu memperkukuhkan reputasi akademik dan penyelidikan universiti, di samping meningkatkan keterlihatan dalam kalangan rakan industri serta pihak berkepentingan.
“Usaha ini dijangka menarik lebih ramai pelajar berkualiti dari dalam dan luar negara untuk melanjutkan pengajian di UniMAP.
“Dalam masa yang sama, UniMAP juga akan menggunakan pendekatan baharu dalam memperkukuh identiti jenama universiti melalui brand voice yang lebih mesra, jelas dan mudah difahami,” katanya.
Ujarnya lagi, pendekatan ini memberi penekanan terhadap penggunaan bahasa yang dekat di hati masyarakat bagi memudahkan pemahaman terhadap agenda pendidikan tinggi berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menonjolkan komitmen universiti terhadap kelestarian dan pembangunan komuniti.
LIMA TERAS UTAMA
“Selain itu, fokus jenama turut diperkemas dengan memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu TVET termaju, kelestarian, pemerkasaan insan, pemerkasaan komuniti dan orientasi industri.
“Kesemua elemen ini disatukan dalam naratif baharu yang menampilkan UniMAP sebagai universiti teknikal termaju yang memperkasakan individu, industri dan komuniti,” katanya.
Tambah Dr. Zaliman penjenamaan ini juga menyaksikan penambahbaikan dari segi penggunaan istilah, termasuk penggantian frasa yang menekankan pendekatan lebih inklusif dan profesional.
PENGENALAN TAGLINE BAHARU
“Saya berharap dengan pengenalan tagline baharu ini, UniMAP terus mengorak langkah ke hadapan sebagai institusi pendidikan tinggi yang inovatif, berimpak tinggi dan bersedia mendepani cabaran masa depan,” katanya.
ASG 2025 diadakan selama dua hari bermula semalam bagi meraikan 486 penerima pelbagai anugerah dengan pecahan 117 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC); 68 penerima Anugerah Perkhidmatan Lama; 21 penerima Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC); 234 penerimaAnugerah Kecemerlangan Penyelidikan; 34 penerimaAnugerah Akademik; dan 12 penerima Anugerah Pentadbir.
Penganugerahan ini merupakan satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan pihak universiti kepada semua warga kerja mengikut kumpulan perkhidmatan atas komitmen, pengorbanan serta dedikasi dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik sepanjang tahun penilaian. – JM
