SIRI LAWATAN KERJA KETUA HAKIM NEGARA KE MAHKAMAH MIRI

MIRI, 8 April – Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Mahkamah Miri hari ini, sekali gus meninjau Persidangan Mahkamah Rayuan di bandar raya itu.

Siri lawatan ke Miri itu merupakan yang pertama di Sarawak sejak beliau dilantik ke jawatan tersebut.

Sepanjang lawatannya, beliau turut beramah mesra dengan warga mahkamah serta mendengar taklimat mengenai operasi, kemudahan dan statistik kes di Kompleks Mahkamah Miri.

Terdahulu, beliau telah mengadakan sesi lawatan ke mahkamah di Mukah, Sibu dan Bintulu.

Di Mukah, beliau merasmikan bangunan mahkamah baharu yang dibina bagi menggantikan premis lama yang uzur, dengan tujuan meningkatkan keselesaan serta kecekapan operasi Mahkamah Majistret dan Mahkamah Seksyen.

Di Sibu dan Bintulu pula, beliau meninjau sendiri kemudahan mahkamah serta menghadiri pembentangan berkaitan keperluan dan prestasi pengurusan kes oleh pihak mahkamah tempatan.

Pada masa yang sama, Ketua Hakim Negara turut menerima taklimat mengenai Persidangan Mahkamah Rayuan di Miri yang berlangsung pada 6 hingga 7 April lalu, menyaksikan 77 kes telah ditetapkan, dengan 62 daripadanya berjaya diselesaikan.

Kes-kes tersebut melibatkan rayuan dari seluruh Sarawak dan didengar di Mahkamah Rayuan Miri sepanjang tempoh berkenaan.

Persidangan litar Mahkamah Rayuan di Miri akan bermula pada Isnin hingga pada Khamis, 9 April, melibatkan tiga panel terdiri daripada tiga hakim yang berpengalaman dan telah berkhidmat di Borneo.

Lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen badan kehakiman dalam memastikan sistem penyampaian keadilan terus diperkasa, khususnya di Sabah dan Sarawak, selain memperkukuh hubungan antara kepimpinan tertinggi kehakiman dengan warga mahkamah di lapangan.

Turut mengiringi beliau, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azhaniz Teh Azman Teh; Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ismail Brahim, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Dato’ Dr Alwi Abdul Wahab; Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi; Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais; Ketua Hakim Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah; serta Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Miri, Hamid Ismail.

NORIZA

rtmsarawaknews

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *