9 April 2026

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan yang berterusan oleh rejim Zionis Israel
terhadap Lubnan.
Tindakan pencerobohan yang berulang ini merupakan pencabulan nyata terhadap
kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan, serta pelanggaran terus terhadap undang-undang antarabangsa
dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Peningkatan konflik ini juga menggugat secara serius perjanjian gencatan senjata selama dua minggu
yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran, serta mengancam untuk mengheret rantau tersebut ke
dalam konflik yang lebih luas.
Ia turut akan menjejaskan usaha diplomatik semasa, serta berisiko
mengakibatkan ketidakstabilan menyeluruh di Asia Barat, dengan implikasi buruk terhadap keamanan dan
keselamatan global.
Malaysia menggesa komuniti antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu, untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan rejim Zionis Israel
bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.
Tindakan Israel ini
mesti dihentikan segera bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan bagi
melindungi kedaulatan Lebanon.
Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan dan rakyat Lubnan, dan kekal
teguh dengan pendiriannya bahawa keamanan hanya boleh dicapai melalui penghentian semua serangan
dan persengketaan selain komitmen jitu terhadap penyelesaian diplomatik yang aman.
Putrajaya
9 April 2026
