

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 APRIL 2026
Perancangan pembangunan negara harus beralih kepada model yang lebih inovatif, dinamik, serta tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kerajaan semata-mata.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-50, juga telah meneliti pelbagai aspek perancangan fizikal negara dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang dan mampan, termasuk usaha memperkasa ekonomi tempatan serta memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum dan berimpak tinggi.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengangkat kualiti hidup rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti, sistem mobiliti yang lebih cekap, serta pembangunan persekitaran bandar yang selesa dan lestari,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau menjelaskan sesungguhnya, pembangunan fizikal negara mesti berteraskan kesejahteraan rakyat ditambah dengan perancangan yang tersusun dan pelaksanaan yang berkesan.
TERUS MEMACU MALAYSIA
“Insya-Allah kita akan terus memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” kata beliau yang sebelum itu mempengerusi MPFN Ke-50, di Putrajaya hari ini.
Anwar juga mengambil kesempatan tersebut untuk turut menyentuh perkembangan mutakhir berkaitan konflik di Asia Barat.
“Dalam suasana geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar, kita tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan lama,” tegas Anwar. – JM
