



16 April 2026
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus memperkukuhkan penguatkuasaan dengan kejayaan menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen yang melibatkan pekerja warga asing menerusi satu operasi khas iaitu βOps Serkapβ pada 13 April 2026, melibatkan serbuan ke atas enam lokasi, hasil risikan berterusan selama enam bulan. Operasi ini adalah berasaskan maklumat serta aduan yang diterima, dan hasil tindakan risikan strategik yang dijalankan oleh pasukan penguatkuasaan
Hasil serbuan ke atas enam lokasi, pasukan operasi telah menemui dokumen imigresen (e-pass dan pelekat keselamatan) yang telah diubah suai untuk digunakan oleh syarikat tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa. Antara barangan yang telah dirampas, 111 naskhah pasport pelbagai negara, 10 buah komputer riba, 6 buah telefon bimbit, dan wang tunai berjumlah RM3,950.
SATU PASUKAN
Seramai sembilan individu berumur antara 26 hingga 61 tahun telah ditahan dalam operasi ini terdiri daripada tiga lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga India, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang dipercayai bertindak sebagai pengarah syarikat. Selain itu, enam Saman kepada Saksi (Borang 29) telah dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, satu pasukan khas telah diatur gerak pada 14 April 2026 sekitar jam 12.30 tengah malam ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat tinggal suspek utama beralamat di Jalan Galloway, Kuala Lumpur. Pasukan operasi berjaya memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki oleh suspek utama yang disyaki cuba melarikan diri, dan suspek berjaya ditahan.
Suspek utama yang ditahan dikenal pasti sebagai Mahendra Jung Shah @ βMJβ, seorang lelaki warganegara Nepal berumur 43 tahun. Siasatan lanjut mendapati sindiket ini telah beroperasi kira-kira 7 tahun. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih diteruskan bagi mengenal pasti struktur syarikat serta anggaran keuntungan yang diperoleh, yang dianggarkan mencecah sekitar RM100 juta dalam tempoh 7 tahun.
Kes ini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), serta lain-lain undang-undang yang berkaitan. JIM akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi melengkapkan siasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat.
JIM ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, khususnya yang melibatkan pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kemudahan imigresen. Orang awam juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini.
