SPRM TERUS IKTIRAF SUMBANGAN MEDIA SEBAR MESEJ ANTIRASUAH

Kuala Lumpur, 18 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mengiktiraf peranan penting pengamal media dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap isu rasuah dan integriti menerusi penganjuran Anugerah Media SPRM Kali Ke-6 Tahun 2025.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, penganugerahan ini amat penting sebagai satu platform untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan besar pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Menurutnya, media bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat, malah turut membantu membentuk persepsi masyarakat serta meningkatkan tahap kepercayaan terhadap usaha reformasi dan tadbir urus negara.

Bagaimanapun, usaha untuk terus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) serta memerangi rasuah tidak boleh digalas oleh kerajaan dan SPRM semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan padu daripada semua pihak termasuk media.

β€œSPRM selari dengan slogan Berani dan Radikal Perangi Rasuah telah bertindak agresif dalam menjalankan siasatan terutamanya terhadap kes-kes berskala besar dan bersindiket merentasi pelbagai sektor serta lapisan masyarakat sama ada dalam sektor korporat, sektor awam, perniagaan, badan bukan kerajaan (NGO), mahupun terhadap ahli-ahli politik.

β€œSPRM kekal komited dalam melaksanakan pendekatan menyeluruh melalui apa yang kita kenali sebagai Three-Pronged Approach, iaitu penguatkuasaan yang tegas, pencegahan yang komprehensif, serta pengurusan yang berkesan,” katanya pada majlis Anugerah Media SPRM di Berjaya Times Square Hotel di sini semalam.

Pada majlis itu, tiga kategori media dipertandingkan iaitu Kategori Penerbitan Artikel Terbaik, Kategori Audio Visual Terbaik dan Kategori Kandungan Media Sosial Terbaik.

Tan Sri Azam turut meluncurkan Video Korporat Baharu SPRM 2026 yang menampilkan konsep penceritaan menggunakan elemen lakonan, plot dan emosi ala drama bagi menyampaikan mesej antirasuah dan peranan serta inisiatif Suruhanjaya.

Apa yang menarik, Video Korporat ini turut menampilkan lakonan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang memegang watak utama bersama pegawai-pegawai kanan SPRM lain. Video ini dihasilkan dengan dua versi iaitu versi pendek berdurasi 5 minit dan versi panjang berdurasi 13 minit dengan mempunyai sarikata berbahasa Inggeris.

Sementara itu, Sinar Harian menerusi dua wakilnya, Muhammad Afham Ramli serta Muhammad Hafiz Adnan masing-masing muncul pemenang pertama bagi kategori Penerbitan Artikel Terbaik dan Kandungan Media Sosial Terbaik.

Tiga wartawan Harian Metro iaitu Mohd Jamilul Anbia Md Denim dan Nurul Hidayah Bahaudin meraih tempat kedua bagi kategori Penerbitan Artikel Terbaik manakala Asrizal Aris menduduki tempat kedua bagi kategori Kandungan Media Sosial Terbaik.

Dalam kategori Penerbitan Audio Visual Terbaik, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengungguli pertandingan apabila tiga kedudukan teratas dimenangi oleh wakilnya iaitu Mazlina Baharom dan Laurendra Fiona Benard Baikan menduduki tempat pertama manakala Nur Fatihah Ab Rahim (kedua) dan Nursharina Izlyn Azmi (ketiga).

Sementara itu, Berita Harian diwakili Mohd Abdul Ilah Hafiz Abdul Aziz yang meraih tempat ketiga bagi kategori Penerbitan Artikel Terbaik dan TV3 pula menyaksikan Siti Khadijah Jaafar muncul pemenang tempat ketiga bagi kategori Kandungan Media Sosial Terbaik.

Dalam majlis itu, dua penerima Anugerah Khas Juri diberikan kepada Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Dato’ Ahmad Rosli Mohd Sham dan Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), Haji Mohd Nasir Ab Hadi.

Anugerah Media SPRM Kali Ke-6 Tahun 2025 diadili lima panel juri yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff.

Turut hadir Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Tuan Hj Kamaruddin Mape, Pengarah-pengarah Kanan dan Bahagian serta Negeri SPRM, Ketua-ketua Pengarang Media dan wartawan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *