
17 April 2026
Kementerian Luar Negeri merujuk kepada nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac 2026.
Pengumuman gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April 2026 telah membawa kepada
perkembangan positif secara berperingkat di rantau Asia Barat, termasuk pembukaan semula ruang udara
dan operasi penerbangan secara terhad.
Sehubungan ini, Kementerian ingin mengemas kini nasihat
perjalanan kepada warganegara Malaysia yang melakukan perjalanan ke atau menetap di rantau tersebut,
termasuk jemaah haji Malaysia, seperti berikut:
i. agar sentiasa meningkatkan tahap kewaspadaan, mengelakkan kawasan aktiviti ketenteraan dan
perhimpunan awam, serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan;
ii. sentiasa mengambil maklum dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang gangguan
penerbangan, kelewatan, atau perubahan dalam urusan perjalanan;
iii. Bagi memudahkan penyaluran bantuan konsular, warganegara Malaysia digesa untuk mendaftar
keberadaan dan mengemaskini maklumat perhubungan mereka secara berkala menerusi portal
e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my. Selain itu, warganegara Malaysia amat
digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyWorldAlert Kementerian bagi menerima maklumat terkini
konsular setempat dan berhubung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat jika
berlaku situasi kecemasan.
Kementerian ini akan terus memantau perkembangan di rantau tersebut, dan akan mengemas kini nasihat
perjalanan ini dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Keselamatan dan kesejahteraan warganegara
Malaysia kekal menjadi keutamaan tertinggi Kementerian.
