Majlis Amal Gemilang PISKANITA UniMAP 2026 berjaya kumpul RM260,000

Oleh: Sholina Osman
25 APRIL 2026

Majlis Amal Gemilang Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2026 berjaya mengumpul sumbangan melebihi RM260,000 bagi menyokong agenda kebajikan mahasiswa serta komuniti berkeperluan khas.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Baginda diiringi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor, serta anakanda puteri sulung Baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang juga merupakan Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, dan penyumbang terbesar majlis itu iaitu Pengasas Yayasan Muhibah, Tan Sri Fng Ah Seng.

SEBAGAI PENERAJU UniMAP

Pengerusi PISKANITA UniMAP, Datin Azliza Ahmad dalam ucapan aluan beliau memaklumkan bahawa sepanjang tahun ini, PISKANITA UniMAP terus memperkukuh peranan sebagai peneraju kebajikan melalui penganjuran lebih 50 program berimpak tinggi, termasuk inisiatif Gerobok Rezeki di kolej-kolej kediaman yang dilaksanakan secara konsisten bagi membantu golongan memerlukan.

Dana yang berjaya dikumpulkan akan disalurkan khusus untuk penyediaan komputer riba kepada pelajar asnaf, di samping menyokong operasi pusat terapi kanak-kanak autistik menerusi Program A-HEART UniMAP, dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan dan sokongan intervensi awal yang berkualiti.

Penganjuran majlis ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan kesejahteraan mahasiswa secara holistik, selain memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara universiti, industri dan Kementerian Pendidikan Tinggi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *