Jabatan, agensi perlu terus pergiat usaha perkasa sektor agromakanan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
26 APRIL 2026

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar jabatan dan agensi berkaitan terus mempergiat usaha memperkasa sektor agromakanan melalui pendekatan moden, inovatif dan berimpak tinggi.

Usaha ini penting bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, khususnya golongan asnaf.

Baginda juga yakin penggunaan teknologi pertanian dapat meningkatkan hasil pengeluaran serta kecekapan pengurusan ladang.

100 ORANG PESERTA

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan mengetuai lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Perlis dalam Program ‘Jelajah Agrofest 2026’ anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis yang berlangsung bersempena Perlis Agrofest 2026 di Kolam Memancing A.B.E, Bintong.

Tuanku Raja Muda berkenan menyempurnakan penyerahan anak ikan kepada tiga orang asnaf terpilih sebagai inisiatif memperkasa sumber pendapatan golongan sasar.

Baginda kemudian nya menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM376,000 daripada Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis kepada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bagi pelaksanaan Projek Pembinaan Sistem Pertanian Moden (Fertigasi) yang melibatkan sepuluh orang asnaf terpilih.

BENIH IKAN PUYU

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pelepasan benih ikan puyu ke dalam kolam, di samping meninjau kawasan sekitar, mengail udang galah, dan seterusnya melancarkan secara rasmi Program Jelajah Agrofest 2026 pada edisi kali ini.

Di tapak utama Perlis Agrofest 2026, Sungai Batu Pahat yang dianjurkan mengambil sempena Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis Yang Ke-84 pada 17 Mei ini kemudiannya pula, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa melawat pelbagai segmen pameran dan aktiviti, termasuk Himpunan Lembu Sado Utara 5.0, Jualan Agro MADANI, serta pameran mekanisasi pertanian yang mengetengahkan teknologi moden dan inovasi dalam sektor pertanian.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman dan Timbalan Pengarah Pembangunan Industri dan Pengembangan, Mohd Nizam Abdul Aziz.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi berkaitan dalam memperkasa sektor pertanian dan kebajikan masyarakat melalui pendekatan inklusif serta berimpak tinggi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *