


Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyantuni 24 keluarga bencana ribut di daerah Pontian yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pontian.
Bagi mangsa, detik bencana itu merupakan mimpi ngeri yang sukar dilupakan dalam sekelip mata.
“Kejadian berlaku amat pantas, ketika itu saya hanya fikir untuk selamatkan isteri dan anak yang baru berusia tiga bulan,” kata Muhammad Zurin Mohd Idris, yang masih terkesan dengan kejadian berkenaan.
Keadaan ribut dengan angin kuat menyebabkan mereka tidak sempat untuk menyelamatkan harta benda, namun beliau bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya selamat.
Dalam usaha meringankan beban mangsa bencana, YSIJ tampil menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan asas serta peralatan elektrik seperti periuk nasi dan cerek pada hari ini (5 Mei).
Sumbangan disampaikan Dato’ Avinderjit Singh, Pemegang Amanah Urusan YSIJ dan Mohd Anizam Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ kepada Kamalludin Jamal, Pegawai Daerah Pontian sebelum disampaikan kepada mangsa.
Dato’ Avinderjit Singh dan Mohd Anizam turut meluangkan masa bertanyakan khabar dan meninjau keadaan mangsa di PPS.
YSIJ turut menyumbang bantuan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada Madrasah Tahfiz Al-Quran Azizurrahim yang turut terkesan dalam kejadian pada 3 Mei lalu.
