


9 Mei 2026
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Datoβ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada enam orang penerima yang membawa gelaran ‘Dato’ dan ‘Datin Paduka’.
Penerima darjah didahului Datin Paduka Shubanah Yusuf, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ); Dato’ Nasri Md. Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor; Dato’ Radzi Mohd. Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor; Dato’ Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Dato’ Mohammed Shakib Ali, Pengarah Tanah dan Galian Johor dan CP Dato’ M.Kumar, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah dan Pingat bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda pada 23 Mac 2026.
Seramai 27 penerima dikurniakan Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), manakala Pingat Jasa Dan Lama Dalam Pekerjaan (PJP) seramai 21 penerima; Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua (48) dan Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga (12).
Pengurniaan Darjah dan Pingat disempurnakan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada Majlis Darjah dan Pingat bagi daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi dan Kulai di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada hari ini (9 Mei).
Berangkat sama, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor dan YAM Tunku Besar Zabedah Binti Almarhum Sultan Iskandar.
