


Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 MEI 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan kerja ke Pulau Banggi, Sabah sebaik selesai Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina.
Beliau berkunjung ke Pos Dogoton untuk meninjau tahap kesiapsiagaan di kawasan sempadan Malaysia-Filipina.
“Pos Dogoton adalah antara pos keselamatan hadapan bersempadanan dengan perairan Filipina yang memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara di kawasan utara Sabah,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau berkata pos ini juga mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Saya diberikan taklimat berkenaan pelaksanaan operasi di sini, sebelum dibawa melihat kawasan kepulauan berhampiran serta meninjau pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan di kawasan ini,” kata beliau.
Jelas Anwar penugasan di kawasan terpencil dengan keadaan muka bumi dan cuaca yang mencabar menuntut ketahanan mental, disiplin serta semangat juang yang tinggi dalam pasukan.
Beliau memberikan penghargaan tertinggi buat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan menjaga kedaulatan tanah air di Pos Dogoton.
“Keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman adalah lambang pengorbanan yang jarang terlihat, namun menjadi benteng yang memastikan kita terus hidup aman dan tenteram,” tambah Perdana Menteri. – JM
