
KUCHING, 12 Mei – Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha mempercepatkan proses pengeluaran surat hakmilik strata menerusi pelaksanaan beberapa langkah penambahbaikan di bawah Malay as Ordinan Strata (Hakmilik Subsidiari) 2019.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk sesi libat urus berkala bersama pemaju dan perunding bagi memberi penjelasan mengenai keperluan teknikal serta membincangkan isu berbangkit berkaitan permohonan hakmilik strata.
Jelasnya, pengeluaran surat hakmilik strata bagi Taman Flora Indah belum dapat dimuktamadkan kerana ia masih di peringkat teknikal iaitu Type B Survey (Stage 2).
Tambahnya, Type B Survey bagi sebuah lot di Taman Flora Indah 2, telah diterima daripada pihak perunding dan sedang dalam proses semakan oleh Jabatan Tanah dan Survei, manakala 2 buah lot, masing-masing di Taman Flora Indah 1 dan Taman Flora Indah 3 pula juga diperingkat Type B Survey dan sedang dimuktamadkan oleh pihak juruukur perunding.
Selain itu, garis panduan dan senarai semak standard turut disediakan bagi memastikan setiap permohonan mematuhi keperluan dokumentasi dan teknikal yang ditetapkan. Taklimat teknikal juga diadakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kefahaman dan keupayaan perunding dalam menyediakan permohonan yang lengkap serta berkualiti.
Dalam perkembangan sama, kelewatan utama pengeluaran surat hakmilik strata dikenal pasti berpunca daripada kegagalan pemaju menyiapkan pengukuran skim strata mengikut tempoh ditetapkan. Proses itu melibatkan dua peringkat pengukuran iaitu Survey Type A bagi pengukuran sempadan parent lot dan kedudukan tapak bangunan, manakala Survey Type B melibatkan pengukuran parcel dalam bangunan skim strata.
Antara faktor lain yang turut menyumbang kepada kelewatan termasuk dokumen permohonan tidak lengkap, pembinaan tidak mengikut pelan diluluskan, kelewatan bayaran pengukuran, perubahan reka bentuk selepas kelulusan, isu pencerobohan struktur bangunan ke luar sempadan lot, serta kelewatan pengeluaran hakmilik parent lot akibat ketidakpatuhan syarat perancangan dan pembayaran premium oleh pihak pemaju.
Datuk Len Talif menjawab soalan daripada ADUN Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.
Wartawan : Eric
FOTO: Jabatan Penerangan Sarawak
