PMX akhiri kunjungan di Pulau Banggi, raikan penduduk di Karakit

Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 MEI 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri kunjungan di Pulau Banggi, dengan meraikan penduduk di Karakit dan kawasan sekitarnya di Dewan Terbuka Kobong.

Beliau melahirkan rasa terkesan melihat semangat serta sambutan luar biasa daripada masyarakat di sini.

“Saya percaya anak-anak di Pulau Banggi memiliki potensi besar untuk berjaya sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Anwar berkata pendidikan harus menjadi jalan untuk mengangkat martabat keluarga serta membuka masa depan yang lebih baik buat generasi muda di sini.

MERANGKA LANGKAH TAMBAHAN

“Kerana itu saya meminta guru-guru SMK Banggi bersama Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri serta PIBG merangka langkah tambahan bagi meningkatkan prestasi anak-anak di sekolah ini. Insya-Allah, jika diperlukan, saya sedia mempertimbangkan peruntukan tambahan demi memperkukuh pendidikan di Pulau Banggi,” kata beliau.

Beliau juga berkongsi kebanggaan tatkala Pusat NADI Pulau Banggi diiktiraf antara yang terbaik di dunia menerusi “World Summit on the Information Society” di Geneva.

Jelas Anwar pengiktirafan ini membuktikan bahawa masyarakat di kawasan terpencil juga mampu mencipta kejayaan bertaraf dunia apabila diberikan akses dan peluang yang adil.

MEMAHAMI PELBAGAI CABARAN

Jelas beliau kerajaan MADANI memahami pelbagai cabaran dan keperluan rakyat di Pulau Banggi termasuk jalan raya, bekalan air, fasiliti kesihatan, pendidikan serta keselamatan. Semua ini memerlukan perhatian berterusan dan tindakan yang lebih pantas di lapangan.

“Sebagai ikhtiar mempercepat pembangunan di pulau ini, saya mengumumkan peruntukan lebih RM33 juta bagi pelaksanaan beberapa projek pembangunan dan infrastruktur termasuk naik taraf jalan raya, jambatan, jeti, balai polis, klinik, asrama serta kemudahan-kemudahan lain,” kata beliau.

Jelas Anwar meskipun Pulau Banggi jauh terpencil, ia tidak akan sesekali dibiarkan terpinggir.

DENGAN RASA SYUKUR

“Saya meninggalkan Pulau Banggi petang ini dengan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk meneruskan legasi yang saya mulakan lebih 32 tahun lalu,” kata Anwar.

Jelas beliau jika dahulu ikhtiarnya tertumpu kepada pembinaan sekolah demi masa depan anak-anak di sini, hari ini usaha itu diteruskan dengan pembangunan yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Pulau Banggi.

Pulau Banggi nampak permai,
Pasir halus di tepi kali,
Orang berbudi kita hargai,
Adat dan hormat jangan dilupai.

Sampai ketemu di lain waktu! – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *