



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
17 MEI 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan tambahan RM100 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara kira-kira 7,000 bilik guru di seluruh negara serta RM50 juta bagi penyelenggaraan 8,700 unit kuarters guru.
Beliau berkata ia sebagai komitmen terhadap kebajikan guru.
Anwar berkata warga pendidik perlu berjiwa besar dalam menerima cabaran dan teguran secara positif, terutama berkaitan kepincangan serta masalah membabitkan pelajar.
TIDAK BOLEH TERLEPAS
Pendidikan tidak boleh terlepas daripada dikaitkan dengan peribadi, sahsiah, insan atau kemanusiaan dan sebarang masalah yang timbul sering dikaitkan dengan sekolah sehingga akhirnya kadang-kadang membebankan warga pendidik,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau menyampaikan amanat Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Ipoh hari ini.
DALAM MENGGALAS AMANAH
“Saya singgung kepentingan warga pendidik dalam menggalas amanah besar dalam membentuk generasi masa depan dengan penuh kesabaran, iltizam dan nilai kemanusiaan,” kata Anwar.
Jelas beliau dunia pendidikan bukan sekadar medan menyampaikan ilmu, tetapi ruang membina kefahaman, membentuk akhlak serta melahirkan insan yang mampu berfikir dengan matang dan menilai dengan bijaksana.
Dalam mendepani cabaran semasa, Anwar berkata penguasaan bahasa, matematik, sains serta teknologi baharu dan teknologi maklumat harus terus diperkasa agar anak-anak kita mampu bersaing dan memimpin masa depan negara dengan lebih yakin dan bermaruah. – JM
