
24 Mei 2026
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai
kenyataan media yang dikeluarkan oleh negara jiran berhubung
peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini.
KKM ingin menegaskan
bahawa situasi jangkitan COVID-19 di Malaysia pada tahun 2026 secara
keseluruhannya adalah stabil dan menunjukkan trend penurunan
yang ketara berbanding tahun sebelumnya.
Berdasarkan data survelan sehingga ME 19/2026, jumlah kes yang
dilaporkan dalam negara mencatatkan penurunan sebanyak 12.6
peratus (9,682 kes) berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Meskipun terdapat peningkatan sebanyak 0.7 peratus (iaitu 575 kes
berbanding ME18/2026), situasi ini kekal terkawal.
Hal ini demikian
kerana, majoriti besar kes yang dilaporkan hanyalah melibatkan gejala
ringan yang tidak memerlukan rawatan di hospital, dan tiada sebarang
kes kematian akibat COVID-19 direkodkan sepanjang tahun 2026.
Dalam aspek kawalan varian, aktiviti penjujukan genomik yang dijalankan
secara berterusan oleh KKM telah mengesan kehadiran beberapa
subvarian baharu dalam komuniti.
Bagaimanapun, hasil pemantauan rapi
menunjukkan varian-varian ini tidak mempunyai kecenderungan untuk
mencetuskan gelombang jangkitan yang serius seperti pada fasa awal
pandemik dahulu.
KKM akan terus memperkukuh saringan pengembara di Pintu Masuk
Antarabangsa dan bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan
Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam aktiviti pemantauan dan
kesiapsiagaan kesihatan awam bagi memastikan pengesanan awal dan
tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya berlaku peningkatan risiko
penularan COVID-19 dari luar negara.
Pada masa ini, jangkitan COVID-19 diuruskan dalam kategori jangkitan
saluran pernafasan lazim seperti selesema biasa dan influenza.
KKM
ingin menyarankan agar orang ramai terus mengamalkan pendekatan
“Hidup Bersama COVID-19” melalui penjagaan kesihatan kendiri yang
asas dan proaktif.
Ini termasuk menjaga kebersihan tangan, memakai
pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di kawasan sesak, serta
mendapatkan perlindungan vaksinasi.
Pengambilan vaksin amat digalakkan khususnya bagi kumpulan berisiko
tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, golongan
imunokompromi, dan wanita hamil bagi mengurangkan risiko komplikasi
jangkitan.
Perkhidmatan vaksinasi ini boleh didapati di klinik
kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
24 MEI 2026
