
Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 MEI 2026
Malaysia menyatakan penghargaan di atas peranan Pakistan dalam usaha menjadi pengantaraan berterusan serta kesediaannya menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya antara Iran dan Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian sewaktu panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif,
Anwar berkata antara perbincangan itu termasuk berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.
PELBAGAI PERKEMBANGAN SERANTAU
“Kami juga berbincang mengenai pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang sekian lama terjalin erat,” kata Anwar.
Anwar turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada beliau serta rakyat Pakistan, dengan harapan semoga semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah.
Dalam hubungan ini, kata beliau Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat.
MENGAMBIL LANGKAH TEGAS
“Kami juga berbincang mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas untuk menghentikan keganasan dan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lebanon,” kata Anwar.
Jelas beliau Insya-Allah, hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat. – JM
