






Oleh: Sholina Osman
27 MEI 2026
Aidiladha bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi lambang ketaatan, pengorbanan dan kasih sesama insan.
Di sebalik takbir yang bergema dan suasana yang penuh kesyukuran ini, tersirat nilai keikhlasan serta pengertian bahawa kebersamaan dan silaturrahim merupakan nikmat yang amat besar nilainya.
Dalam kehidupan ini, nikmat kesihatan dan kesempatan untuk bersama insan yang kita kasihi merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya.
MEMPERERAT TALI PERSAUDARAAN
Maka, sempena Aidiladha ini, marilah kita memperkukuhkan rasa syukur, mempererat tali persaudaraan serta menyemai nilai ihsan dan saling menghargai antara satu sama lain.
Demikian titah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid sempena Majlis Santapan Tengah Hari sempena Hari Raya Aidiladha yang dihoskan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Raja Perempuan Perlis di Istana Arau semalam.
Teks titah ucapan Baginda dibacakan oleh Setiausaha Sulit Tuanku Raja Perlis di majlis tersebut.
Berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis Tuaku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
SELURUH RAKYAT PERLIS
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis menitahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Perlis yang dikasihi serta kaum kerabat serta rakan taulan.
Mudah-mudahan sambutan yang penuh keberkatan ini membawa ketenangan jiwa, memperkukuh perpaduan serta menyuburkan taulan tidak kira di mana sahaja mereka berada dengan doa serta harapan agar semangat pengorbanan dan kasih sayang dalam kalangan kita semua terus berkekalan.
Sejurus selesai majlis, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda meluangkan masa berangkat untuk berfoto kenangan bersama-sama warga kerja Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis yang sedang memotong, menimbang dan membungkus daging lembu sebanyak tiga ekor dan memasak sup daging serta juga Kurma Daging Perlis hasil sumbangan Kerajaan Negeri (seekor) dan Datuk Sri Adam Sani Abdullah – Atlan Holdings Bhd (dua ekor). – JM
