






Oleh: Sholina Osman
31 MEI 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran dua buah buku terbitan Galeri Ilmu Media Group bertajuk ‘Profesor Yang Membeli Syurga dan Kehilangan’, dan ‘Kasih Sayang Tuhan’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Galeri Ilmu Media Group, Mohd Yusri Yusof.
BARISAN PENGURUSAN TERTINGGI
Turut hadir ialah penulis buku ‘Profesor Yang Membeli Syurga’, Datuk Dr. Zaini Mohd Ariff, dan isteri, Datin Norashikin Mohd Jusoh, serta barisan pengurusan tertinggi Galeri Ilmu Media Group, para penulis, serta para pengunjung PBAKL 2026.
Mengiring sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, serta CEO Kumpulan WTCKL Fauzy Wahab.
Pelancaran kedua-dua naskhah tersebut mencerminkan komitmen berterusan Galeri Ilmu Media Group dalam memperkaya khazanah ilmu dan memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat menerusi penerbitan karya yang sarat dengan nilai pengajaran, motivasi dan penghayatan spiritual.
Penganjuran majlis pelancaran buku sempena PBAKL 2026 itu turut memperlihatkan peranan penting industri penerbitan negara dalam melahirkan masyarakat berilmu, berfikiran kritis dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi membangunkan modal insan yang seimbang dan berkualiti. – JM
