RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MENGHADIRI PERSIDANGAN SULUNG “GATHERING LIGHT” KL

7 Jun 2026

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menghadiri persidangan sulung “Gathering Light” Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam (7 Jun).

Persidangan berkenaan menghimpunkan pemimpin, cendekiawan serta pemikir Islam bagi membincangkan hal ehwal semasa agama Islam.

Ucaptama berjudul “Masalah Kehilangan Adab” telah disampaikan oleh Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, pengasas dan mantan pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS).

Satu syarahan turut disampaikan oleh pendakwah terkenal dan Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah, Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid yang menyentuh tentang mengembalikan diri ke jalan Allah dalam zaman penuh perpecahan.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mendengar perbincangan berkenaan perpaduan ummah di akhir zaman yang dikupas oleh Shaykh Dr. Ahmad Saad, Pengarah Institut Al-Ihsan United Kingdom & Singapura, serta pendakwah Ustaz Engku Ahmad Fadzil, dan dimoderasi oleh Dr Yusri Mohamad, mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Selesai sesi persidangan itu, Raja Permaisuri Agong berkenan menerima mengadap Habib Ali dan Dr. Shaykh Ahmad serta Shaykh Muhamed Hydara Al-Jilani, tokoh ulama dan Pengerusi Persatuan Qadriyya dari Gambia.

“Saya pernah bertemu dan menghadiri syarahan yang diberikan oleh kesemua penceramah hari ini.

“Ilmu dan ulasan yang dikongsikan amat penting sebagai buah fikiran untuk kita semua dalam menghadapi persekitaran dunia yang tidak menentu dan merencanakan masa depan yang lebih baik untuk negara dan ummah,” titah Seri Paduka Baginda.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *