






Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
9 JUN 2026
Rangka kawal selia yang telus dan dasar ekonomi yang stabil menjadi kunci utama bagi menarik pelabur jangka panjang ke Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kestabilan ekonomi jangka panjang tidak boleh dikorbankan demi kepentingan jangka pendek.
Tiga Teras Utama Pembangunan Ekonomi Perlis antaranya adalah Sistem kawal selia mesti telus dan konsisten supaya pelabur mudah membuat perancangan, Pengurusan kewangan wajib berdisiplin, mengikut kemampuan, dan fokus kepada pelan jangka panjang, serta setiap Institusi perlu kuat bagi memastikan kestabilan makroekonomi dan harga barang yang terkawal.
KEPUTUSAN YANG SUKAR
Baginda turut mengingatkan semua pihak bahawa adakalanya keputusan yang sukar atau ‘trade-off’ mesti dibuat demi memastikan masa depan ekonomi kekal mampan.
Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kurung Tengar dekat Kuala Perlis baru-baru ini.
Turut serta dalam program edisi kali ini adalah empat orang pelajar peringkat M.B.A. warga Sepanyol dari Columbia Business School (CBS), Columbia University, New York, Amerika Syarikat yang berada dii negeri ini melalui program anjuran Yayasan Hasanah dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
USAHA BERTERUSAN MAIPs
Inisiatif kayuhan ini merupakan antara usaha berterusan MAIPs dalam mengenal pasti keperluan golongan yang memerlukan di samping memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai dan memberi manfaat kepada penerima yang layak.
Baginda yang juga merupakan Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga penerima iaitu Azis Kasa, 59, dari Kampung Kurong Tengar, Nah Jaya, 87, dari Kampung Tok Kaya serta Setemenah Putung @ Munah Hashim dari Kampung Padang Besar (Selatan).
Baginda turut menzahirkan harapan agar semangat kebersamaan dan nilai ihsan terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat demi membina sebuah komuniti yang lebih sejahtera dan penyayang.
LAWATAN KE CHALET
Dalam program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengadakan lawatan ke Chalet Kurung Tengar yang terletak di Jalan Kurung Tengar, Kuala Perlis, sebuah destinasi penginapan tepi pantai yang semakin menyerlah sebagai antara produk pelancongan berpotensi di negeri Perlis sebagai tanda sokongan kepada kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026.
Menurut pengusaha Chalet Kurung Tengar, Ahmad Naim Abdul Latif, dalam taklimat yang dipersembahkan kepada Baginda, resort berkenaan menawarkan sebanyak 28 bilik penginapan yang direka untuk memberikan suasana santai, selesa dan menenangkan kepada para tetamu.
Pengunjung boleh memilih sama ada bilik dengan pemandangan daratan (landview) atau pemandangan laut yang mempesonakan (seaview), menjadikannya pilihan ideal untuk percutian keluarga, program korporat, hari keluarga serta pelbagai aktiviti rekreasi.
HAB AKTIVITI REKREASI
Lebih menarik, Chalet Kurung Tengar bukan sekadar menawarkan kemudahan penginapan, malah berfungsi sebagai hab aktiviti rekreasi pantai yang lengkap dan mesra pengunjung.
Tetamu berpeluang menikmati pelbagai aktiviti sukan air dan rekreasi yang dikendalikan secara teratur dan selamat, termasuk sukan air, aktiviti pantai, sukan darat serta pelbagai program santai dan acara hujung minggu yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Dalam lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa bersama komuniti ‘Perlis Parrot Free Fly’, sebuah komuniti peminat burung kakak tua yang aktif menjalankan latihan penerbangan bebas (free fly) bagi burung peliharaan mereka. Melalui latihan khusus, burung-burung tersebut mampu terbang bebas di kawasan terbuka sebelum kembali semula kepada pemilik masing-masing berdasarkan arahan suara atau bunyi wisel.
Aktiviti unik yang semakin berkembang di Perlis itu bukan sahaja mencerminkan komitmen dan minat mendalam para pencinta haiwan eksotik, malah berpotensi untuk diketengahkan sebagai salah satu produk rekreasi komuniti yang mampu menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara. – JM
