



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 JUN 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari kedua di Jepun menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Future of Asia di Tokyo bertajuk Navigating Strategic Uncertainty, yang menyentuh cabaran besar yang sedang membentuk semula landskap geopolitik dan geoekonomi dunia.
Beliau berkata tatkala konflik berlarutan, persaingan kuasa besar semakin meruncing, rantaian bekalan global semakin rapuh dan ketidaktentuan ekonomi semakin melebar, dunia tidak boleh terus terperangkap dalam kerangka lama yang melihat hubungan antarabangsa semata-mata melalui lensa persaingan kuasa dan kepentingan sempit.
Jelas Anwar Asia membangun hasil daripada keterbukaan, perdagangan, pelaburan dan kerjasama. Benar, tatanan dan institusi antarabangsa sedia ada telah membantu mengangkat jutaan manusia keluar daripada kemiskinan.
AGAR KEKAL RELEVAN
“Namun cabaran kita hari ini bukan meninggalkannya, tetapi mereformasi dan memperkukuhnya agar kekal relevan dengan tuntutan zaman yang kian berubah,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Anwar berkata Malaysia percaya negara-negara kuasa pertengahan mempunyai tanggungjawab penting dalam usaha ini.
“Walaupun tidak memiliki pengaruh yang sama seperti kuasa-kuasa besar, kita berupaya memainkan peranan sebagai jambatan persefahaman, membina kesepakatan dan menggalakkan kerjasama ketika dunia semakin cenderung kepada perpecahan,” kata Anwar.
PELBAGAI MANFAAT BESAR
Beliau turut menyentuh soal kecerdasan buatan yang menjanjikan pelbagai manfaat besar kepada manusia. Namun kemajuan teknologi tidak boleh dibiarkan hanya memperkayakan segelintir pihak atau melebarkan kesenjangan.
Jelas Anwar negara-negara membangun mesti mempunyai suara yang bermakna dalam menentukan tatakelola teknologi yang bakal mempengaruhi kehidupan berbilion manusia.
“Dalam dunia yang semakin berpecah, ASEAN kekal relevan sebagai wadah yang mengutamakan keterangkuman, dialog dan kerjasama,” kata beliau lagi.
ASAS HUBUNGAN ERAT
Sehubungan itu kata beliau semangat yang sama turut menjadi asas hubungan erat Malaysia dan Jepun dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital dan kecerdasan buatan, demi membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan serta kemakmuran yang dapat dikongsi bersama.
“Para pelayar zaman silam tidak mampu mengawal angin atau meramal setiap badai yang mendatang,” ujar Anwar.
Namun kata beliau mereka mempunyai arah tujuan yang jelas.
“Dunia hari ini tidak kekurangan kuasa, tetapi kekurangan kefahaman bahawa kerjasama sentiasa lebih baik daripada perpecahan, bahawa institusi perlu diperbaharui bukannya ditinggalkan, dan kepimpinan menuntut keberanian untuk membentuk masa depan, bukan sekadar bertindak balas terhadap keadaan,” tambah Perdana Menteri. – JM
