PMX bentang aspirasi, hala tuju ekonomi dalam dialog perniagaan bersama 29 pemimpin konglomerat utama Jepun

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkesempatan membentangkan aspirasi, hala tuju ekonomi serta potensi pelaburan Malaysia dalam dialog perniagaan bersama 29 pemimpin konglomerat utama Jepun yang dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Beliau menjelaskan syarikat-syarikat yang hadir merupakan antara peneraju dunia dalam bidang perbankan dan kewangan, semikonduktor, tenaga boleh baharu, infrastruktur serta petrokimia.

Tambah beliau pertemuan ini memberi ruang untuk meneroka peluang kerjasama dan pelaburan yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

KRISIS BEKALAN GLOBAL

“Saya turut menegaskan bahawa krisis bekalan global yang melanda dunia sedang mempercepat perubahan dalam landskap ekonomi antarabangsa,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Beliau berkata negara yang berjaya menarik industri strategik, teknologi baharu dan pelaburan bernilai tinggi akan berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran masa hadapan, termasuk dalam memperkukuh keterjaminan tenaga dan daya tahan ekonomi.

Atas dasar itu, Anwar berkata Malaysia mesti terus memperkukuh hubungan dengan syarikat peneraju dunia bagi memastikan negara kekal berdaya saing dan berupaya menjadi antara hab utama industri strategik dan teknologi masa hadapan di rantau ini.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem pelaburan negara melalui dasar yang jelas dan konsisten agar lebih banyak pelaburan berkualiti dapat dibawa masuk ke sektor-sektor strategik negara, sekali gus memperkukuh ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat,” ujar beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *