



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 JUN 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah hari ini mengadakan pertemuan dengan enam syarikat utama Jepun dan antarabangsa iaitu IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation.
Beliau berkata syarikat-syarikat ini merupakan antara peneraju dunia dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi perkomputeran termaju, automotif berteknologi tinggi, tenaga, infrastruktur serta pembangunan tenaga boleh baharu.
Jelas beliau perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama dan peluang pelaburan baharu dalam sektor strategik seperti tenaga, industri halal, AI, pusat data, teknologi digital dan industri masa hadapan.
Anwar berkata takala dunia berdepan krisis bekalan dan tenaga global, kerjasama ini penting untuk memperkukuh daya tahan ekonomi serta keterjaminan bekalan negara.
LEBIH BANYAK PELABURAN
“Fokus kita adalah untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, memperkasa ekosistem berteknologi tinggi negara, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat serta memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Jepun yang telah terjalin sejak sekian lama,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Anwar percaya keyakinan yang ditunjukkan syarikat-syarikat terkemuka Jepun terhadap Malaysia mencerminkan kedudukan negara kita yang semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini, khususnya dalam sektor yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi masa depan. – JM
