

.
πππ‘π§π¨ππ¨, ππ± πππ» β Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki melanggar peraturan pelayaran selepas gagal mengibarkan bendera Malaysia ketika berada dalam kawasan Pelabuhan Malaysia di kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika barat laut Kuala Kemena, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan tersebut dilakukan sekitar jam 10.10 pagi menerusi OP TIRIS 4.0 dan OP PERMAI 01/2019 hasil rondaan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan di perairan Bintulu.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bot tunda berkenaan mendapati vesel itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance – MSO) 1952 kerana gagal mengibarkan bendera Malaysia semasa berada dalam Pelabuhan Malaysia dari waktu terbit hingga terbenam matahari sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang.
βHasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh enam kru terdiri daripada lima warga Indonesia termasuk nakhoda serta seorang warga India. Kesemua kru bersama vesel berkenaan telah ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu bagi tujuan siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat,β katanya.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan pematuhan undang-undang maritim serta memperkukuh keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan perairan negara.
Katanya, pematuhan terhadap peraturan pelayaran termasuk pengibaran bendera negara bukan sahaja mencerminkan identiti dan status sesebuah vesel, malah merupakan elemen penting dalam aspek keselamatan pelayaran serta penguatkuasaan maritim.
Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan pemantauan di perairan Sarawak bagi mengesan sebarang pelanggaran undang-undang maritim, selaras dengan peranannya sebagai agensi utama penguatkuasaan maritim negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, terkawal dan bebas daripada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Sehubungan itu, komuniti maritim diseru agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa ketika beroperasi di laut bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.
