
PUTRAJAYA, 16 Jun – Kerajaan Malaysia menegaskan komitmennya dalam memastikan kebajikan serta perlindungan kanak-kanak migran dan pelarian terus diberikan perhatian sewajarnya melalui pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah, yang berfungsi sebagai penempatan sementara lebih kondusif bagi golongan berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan media hari ini menolak dakwaan yang mengaitkan Malaysia dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk daripada komuniti Rohingya. Menurut kementerian itu, dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.
Sehingga 28 Februari 2026, sebanyak enam buah Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan seramai 188 kanak-kanak, termasuk tujuh kanak-kanak yang dikategorikan sebagai tanpa penjaga atau terpisah daripada keluarga mereka.
Menurut KDN, pelaksanaan Baitul Mahabbah merupakan langkah interim yang menyediakan penempatan sementara lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka, sekali gus membolehkan mereka dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.
Di pusat tersebut, kanak-kanak ditempatkan dalam suasana yang lebih kondusif serta diberikan kemudahan asas meliputi keselamatan, penjagaan kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas dan ruang riadah yang bersesuaian dengan umur serta keperluan mereka.
KDN menjelaskan bahawa Baitul Mahabbah juga merupakan langkah peralihan sementara kerajaan memperhalusi kerangka Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak yang lebih menyeluruh bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan yang berkaitan. Dalam masa sama, kerajaan merancang untuk memperluaskan skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berperingkat bagi menampung kategori umur kanak-kanak yang lebih luas mengikut kesesuaian kemudahan dan tahap perlindungan yang diperlukan.
Kementerian turut menegaskan bahawa usaha tersebut bertujuan memastikan kanak-kanak yang terlibat tidak terus berada dalam persekitaran tahanan biasa, selain melindungi mereka daripada risiko eksploitasi, penyeludupan migran, pemerdagangan orang dan pengabaian. Pendekatan yang diambil juga dilihat sebagai usaha menyeimbangkan tuntutan kemanusiaan dengan tanggungjawab kerajaan dalam memelihara keselamatan negara serta integriti sistem imigresen.
Dalam kenyataan sama, KDN mengingatkan bahawa isu migrasi dan pelarian tidak boleh dilihat secara terpisah daripada cabaran keselamatan dan kemanusiaan yang lebih besar. Kemasukan tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang yang melibatkan komuniti rentan termasuk Rohingya merupakan isu kompleks yang merentas sempadan dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau serta aktivis kemanusiaan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian mampan. Tumpuan, menurut KDN, tidak seharusnya hanya diberikan kepada kritikan terhadap negara penerima, sebaliknya turut merangkumi usaha menangani punca sebenar migrasi paksa, membanteras sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, mempercepatkan penempatan semula ke negara ketiga serta mewujudkan keadaan yang membolehkan kepulangan secara selamat, sukarela dan bermaruah apabila keadaan mengizinkan.
Kementerian menegaskan bahawa Malaysia akan terus mengimbangi aspek kemanusiaan dan keselamatan negara dalam mengurus isu migrasi, demi memastikan kebajikan golongan rentan terus terpelihara tanpa mengabaikan kepentingan nasional.
