
8 Julai 2026
Kem Sultan Nazrin Shah merupakan simbol komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keupayaan keselamatan negara menerusi pembangunan kem khusus bagi Pasukan Gerakan Khas (PGK) Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dengan kos pembangunan melebihi RM206 juta, kem ini dilengkapi kemudahan latihan moden bertaraf tinggi bagi memastikan 69 Komando sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
💬 “Pelaburan strategik dalam aset, prasarana dan pembangunan keupayaan pasukan keselamatan merupakan langkah penting bagi memastikan keselamatan negara terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Antara keistimewaan Kem Sultan Nazrin Shah ialah pembinaannya di atas kawasan seluas 338.3 hektar yang menempatkan 53 fasiliti utama meliputi kompleks latihan para, kemudahan latihan payung terjun, kolam renang taktikal, lapang sasar tertutup, lapang sasar jarak dekat dan sederhana serta lapang sasar sepanjang 1.2 kilometer, antara yang terpanjang di Malaysia bagi latihan penembak tepat, antikeganasan dan operasi khas.
Kem ini turut menjadi mercu tanda transformasi keupayaan operasi 69 Komando selepas lebih lima dekad pasukan elit tersebut beroperasi tanpa kem khusus. Ia memperkukuh kesiapsiagaan anggota dalam melindungi keselamatan negara serta menghadapi pelbagai ancaman keselamatan masa kini dan masa hadapan.
Sumber: Kementerian Dalam Negeri (KDN)
