




10 Julai 2026
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan rasa bersyukur kerana sekali lagi ketemu PM Anutin bagi menyempurnakan pembukaan jajaran jalan baharu menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.
PMX berkata, sejarah telah lama mengikat bumi Malaysia dan Thailand.
Jelas beliau , Ahli geografi Yunani, Ptolemy, pernah menggambarkan wilayah ini sebagai Golden Peninsula, manakala para pedagang silam mengenalinya sebagai Suvarnabhumi, bumi emas yang menjadi nadi perdagangan dan pertemuan tamadun.
Kata PMX, berabad kemudian, penyair Inggeris John Milton turut menyebutnya sebagai Golden Chersonese.
” Pembukaan jajaran baharu ini mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk memperkukuh kesalinghubungan, mempercepat aliran perdagangan dan memudah cara pergerakan rakyat.
” Sebagai pintu masuk perdagangan darat paling sibuk antara Malaysia dan Thailand, setiap penambahbaikan di Bukit Kayu Hitam–Sadao membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat serta manfaat yang lebih besar buat rakyat, ” jelas PMX dalam perkongsian di laman media sosial hari ini.
Menurut PMX, pertemuan ini turut membuahkan hasil apabila Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan, menyelesaikan isu-isu teknikal yang tertangguh serta memperkukuh komitmen mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai USD30 bilion menjelang 2027.
PMX berkata, limpahan manfaatnya bukan hanya di kawasan sempadan, malah akan merancakkan pertumbuhan di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan menerusi peningkatan perdagangan, pelaburan, logistik, pelancongan serta peluang pekerjaan.
” Inilah pendekatan Kerajaan MADANI yang memastikan setiap hubungan strategik diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.
” Insya-Allah, Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuh hubungan demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara, ” ujar beliau lagi.
🇲🇾🤝🇹🇭
