Poland, Jerman meterai perjanjian pertahanan baharu

WARSAW, 17 Julai – Poland dan Jerman memeterai perjanjian pertahanan dua hala baharu sebagai usaha memperkukuh kerjasama keselamatan serantau ketika Warsaw melihat ancaman Rusia terus meningkat.

Perjanjian pertahanan tersebut dimeterai antara Menteri Pertahanan kedua-dua negara pada Rabu, sekali gus mengukuhkan lagi rangkaian kerjasama pertahanan Poland dengan sekutu-sekutu Eropah.

“Pertahanan yang kukuh dan berkesan di sayap timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak dapat dicapai tanpa kerjasama erat antara Jerman dan Poland,” kata Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Poland, Wladyslaw Kosiniak-Kamysz.

Menurut beliau, kerjasama lebih rapat antara kedua-dua negara penting bagi memastikan kestabilan dan keselamatan di rantau Eropah khususnya di sempadan timur NATO.

Poland sebelum ini menandatangani perjanjian pertahanan dengan Perancis dan Britain, selain sedang berunding perjanjian sama dengan Itali sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pakatan keselamatan negara itu.

Majlis pemeteraian perjanjian tersebut diadakan sempena ulang tahun ke-35 Perjanjian Hubungan Kejiranan Baik dan Kerjasama Persahabatan Poland-Jerman yang menjadi asas hubungan dua hala antara kedua-dua negara sejak 1990.

Sumber berita RTM
Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *