PELUANG KEDUA, MASA DEPAN LEBIH CERAH

25 Julai 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Penjara Malaysia terus memperluas kerjasama strategik bersama sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memperkukuh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Inisiatif ini membuka lebih banyak peluang latihan, penempatan pekerjaan serta membantu prospek membina kehidupan yang lebih baik selepas kembali ke pangkuan masyarakat.

“Peluang kedua perlu disusuli dengan peluang pekerjaan yang bermaruah. Kerjasama strategik antara kerajaan dan industri menjadi pemangkin penting untuk memastikan prospek yang telah dipulihkan mampu kembali berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negara.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri

Sehingga kini, lebih 430 syarikat swasta dan GLC telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi menyediakan latihan, pensijilan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada prospek. Penyertaan dalam program TVET sektor pembinaan turut menunjukkan peningkatan, daripada 184 prospek pada tahun 2024 kepada 234 prospek pada tahun 2025, manakala 55 prospek telah menyertai program tersebut sehingga Jun 2026, menjadikan 473 prospek keseluruhannya mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Pendekatan bersepadu antara kerajaan dan industri bukan sahaja memperkukuh proses reintegrasi prospek ke dalam masyarakat, malah membantu meningkatkan kebolehpasaran, mengurangkan risiko residivis serta melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam memperkasa pemulihan berasaskan kemahiran demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia.

Sumber: Pertanyaan Jawab Lisan, Dewan Negara, Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, 23 Julai 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *