
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan reformasi menyeluruh terhadap struktur tadbir urus institusi itu selepas mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pengurusan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan RCI mendapati antara isu utama yang dikenal pasti ialah campur tangan politik dalam beberapa keputusan penting berkaitan pengurusan TH, termasuk agihan keuntungan (hibah), kadar bayaran haji serta Bantuan Kewangan Haji (HAFIS), yang didapati memberi kesan terhadap keyakinan dan kredibiliti institusi berkenaan.
Suruhanjaya turut berpandangan bahawa beberapa peruntukan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa kerana memberikan kuasa yang terlalu luas dalam aspek pelantikan, pentadbiran serta pengurusan dana dan pelaburan.
Bagi memperkukuh tadbir urus, RCI mencadangkan pindaan terhadap Akta 535, termasuk memperjelaskan pembahagian tanggungjawab antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi pengurusan operasi haji dan Menteri Kewangan bagi aspek kewangan, dana serta pelaburan.
Selain itu, suruhanjaya turut mengesyorkan penetapan kriteria pelantikan yang lebih jelas bagi Pengerusi dan anggota Lembaga TH serta memperkasakan mekanisme semak dan imbang melalui pengkanunan Panel Pelaburan, Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Jawatankuasa Pengurusan Haji bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan pendeposit terhadap pengurusan Tabung Haji.
