Pengorbanan pahlawan negara wajib terus dikenang, dihargai – PAT

PUTRAJAYA, 31 Julai – Pengorbanan pahlawan negara dalam mempertahankan kemerdekaan, keselamatan dan kedaulatan tanah air perlu sentiasa dikenang serta dihargai sebagai tanda penghormatan atas jasa mereka, kata Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Menurut beliau, Sambutan Hari Pahlawan menjadi manifestasi penghargaan kepada seluruh pahlawan negara, khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk anggota yang masih berkhidmat, pesara serta keluarga anggota yang gugur atau meninggal dunia.

Katanya, perjuangan pahlawan sebelum kemerdekaan membebaskan negara daripada penjajahan, manakala pengorbanan anggota ATM selepas merdeka memastikan keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan 2026 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.

Jeneral Tan Sri Malek Razak turut menyeru agar semangat menghargai pengorbanan pahlawan terus dipupuk dalam kalangan generasi masa kini dan akan datang supaya jasa mereka tidak pernah dilupakan, selain mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga ATM dan para pesara tentera.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *