
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang menjalankan siasatan dari sudut kawal selia berhubung penahanan seorang juruterbang warga Malaysia di Indonesia bagi menilai sama ada wujud sebarang kelemahan dalam prosedur keselamatan sebelum individu berkenaan berlepas dari Malaysia.
CAAM memaklumkan siasatan itu merangkumi pematuhan syarikat penerbangan terhadap keperluan kawal selia sedia ada, termasuk proses pemeriksaan keselamatan operator lapangan terbang serta prosedur yang melibatkan kru penerbangan.
Sebagai langkah segera, pihak berkuasa itu turut mengumumkan pemantauan akan dipertingkatkan terhadap pelaksanaan prosedur pemeriksaan bagasi dan kawalan keselamatan bagi memastikan piawaian keselamatan penerbangan terus dipatuhi.
Siasatan tersebut susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 29 Julai lalu selepas pihak berkuasa Indonesia mendakwa menemui kira-kira 25 kilogram pil ekstasi serta sejumlah kecil metamfetamin yang disembunyikan dalam bagasi miliknya.
CAAM menegaskan siasatan yang dijalankan bertujuan mengenal pasti sebarang kelemahan dalam aspek kawal selia serta memperkukuh sistem keselamatan penerbangan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang.
