HAMPIR 100,000 KANDUNGAN PENIPUAN DALAM TALIAN DITURUNKAN, KERAJAAN PERKUKUH KESELAMATAN SIBER

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kerajaan terus memperhebat usaha membanteras penipuan dalam talian apabila sebanyak 99,693 kandungan berunsur penipuan berjaya diturunkan daripada platform media sosial sehingga 31 Julai lalu, melepasi jumlah keseluruhan 98,503 kandungan yang diturunkan sepanjang tahun 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata peningkatan tindakan penguatkuasaan itu membuktikan keselamatan dalam talian kekal menjadi antara keutamaan kerajaan dalam melindungi pengguna daripada ancaman jenayah siber.

Beliau berkata trend penurunan kandungan penipuan menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 242 kandungan pada 2022, meningkat kepada 6,297 pada 2023, 63,652 pada 2024, 98,503 pada 2025, sebelum mencecah 99,693 kandungan setakat Julai tahun ini.

Menurut beliau, Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 yang telah diluluskan Dewan Negara akan memperkukuh asas perundangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam melaksanakan Inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Kebangsaan, khususnya bagi menyokong aspek keselamatan negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa pindaan itu membolehkan Menteri mengarahkan MCMC melaksanakan inisiatif berkaitan penggunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi, selain menyediakan mekanisme rayuan menerusi Tribunal Rayuan yang dipengerusikan oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi bagi memastikan semak dan imbang dalam pelaksanaan keputusan MCMC.

Pindaan tersebut disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem komunikasi dan keselamatan digital negara, sekali gus meningkatkan keupayaan kerajaan menangani ancaman penipuan dalam talian secara lebih berkesan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *